KUALA LUMPUR: Sebanyak RM120 juta diperuntukkan bagi bayaran semula 10 daripada transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibatalkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata transaksi berkenaan membabitkan jumlah keluasan tanah sebanyak 5.6 hektar.

“Jawatankuasa khas Kementerian Wilayah memutuskan untuk bayar semula walaupun harganya memang tinggi. Boleh dikatakan pembelian balik tanah ini adalah salah satu bentuk pelaburan untuk masa depan.

“Selain itu, kita juga dapat balik wang bagi transaksi tanah yang sedang dirunding semula dan saya akan umumkan secara rasmi esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Run For The Deaf 2018 sempena KL Car Free Morning, di sini hari ini.

Secara keseluruhannya, 97 transaksi membabitkan penjualan tanah milik DBKL bernilai RM5.63 bilion disiasat.

Selain 10 pembatalan transaksi, sebanyak 23 transaksi berjaya dirunding, satu transaksi dibawa ke mahkamah manakala 43 transaksi tanah diteruskan seperti biasa.

Sebanyak 20 lagi transaksi tanah yang selesai dipindah milik kepada syarikat diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata DBKL hanya memperoleh RM2 juta hasil kutipan saman trafik membabitkan pelbagai kesalahan termasuk notis tertunggak pada September lalu.

Katanya, tawaran potongan diskaun kepada pesalah trafik yang berlangsung selama sebulan kurang mendapat sambutan.

“Kita menjangkakan mendapat sekurang-kurangnya RM100 juta kerana jumlah keseluruhan nilai saman tertunggak mencecah hampir RM1 bilion,” katanya.

DBKL mengeluarkan kira-kira empat juta notis saman kepada pesalah trafik membabitkan pelbagai kesalahan termasuk notis tertunggak sejak 2006 – berita harian