BIDOR – Rakyat di kawasan Parlimen Tapah menikmati pelbagai manfaat daripada projek pembangunan infrastruktur yang bernilai hampir  RM14 juta sehingga Mei tahun ini sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara projek pembangunan itu ialah jalan raya, dewan orang ramai dan surau.

Beliau memberitahu, banyak lagi projek pembangunan akan dilaksanakan di kawasan parlimen itu tahun ini, termasuk lapan buah surau.

“Kita bersyukur kerana ketiga-tiga wakil rakyat di Parlimen Tapah memegang jawatan dalam kerajaan, Ahli Parlimen menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan manakala dua Ahli Dewan Undangan Negeri menjadi exco kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surau Al – Taqwa B.M.T. Jeram Mengkuang, Bidor yang bernilai RM150,000 dan penyerahan sumbangan moreh kepada masjid dan surau Parlimen Tapah di sini pada Selasa malam.

Selain Samsudin yang juga ADUN Air Kuning, exco kerajaan negeri Perak dari Parlimen Tapah ialah ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon di samping Ahli Parlimennya, Datuk M. Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Samsudin berkata, daripada lapan surau lagi yang akan dibina tahun ini, tujuh telahpun siap segala dokumentasi, sementara sebuah lagi masih dalam proses menyelesaikan masalah tapak.

Pada majlis yang sama Samsudin turut menyerahkan sumbangan moreh kepada 18 buah masjid, 8 surau diri Jumaat dan 88 surau seluruh Parlimen Tapah.

Setiap masjid dan surau diri Jumaat menerima sumbangan RM1,000 manakala setiap surau menerima RM500.

Beliau berkata, sumbangan itu boleh bukan hanya terhad kepada moreh, sebaliknya boleh juga digunakan untuk program lain di bulan Ramadan, seperti tadarus al – Quran.

“Saya berharap ahli kariah dapat mengimarahkan lagi masjid dan surau sepanjang Ramadan ini kerana kita tidak tahu samada kita berpeluang lagi untuk menyambut Ramadan akan datang,” ujarnya.