Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM162 juta bagi proses menambahbaik sebanyak 24 lokasi untuk acara Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata jumlah tersebut adalah termasuk beberapa lokasi utama penganjuran Sukma 2018 di mana Perak menjadi tuan rumah kepada sukan berprestij tersebut.

Katanya, sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk menambahbaik kolam renang negeri yang kini dilihat agak uzur dan kerja kerja pemulihan telah dimulakan dan dijangka siap pada Januari tahun hadapan.

Zambry-SUKMA 5

Sementara itu, pihak kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk membaiki lapang sasar yang terletak di Chemor dan sebanyak RM15 juta bagi Stadium Perak bagi menepati standard dan piawaian yang digariskan SUKMA.

“Secara keseluruhannya,kami menjangkakan sebanyak RM162 juta untuk memperbaiki kesemua lokasi termasuk padang balapan dan beberapa lokasi untuk SUKMA 2018 dan bagi pandangan saya kos ini adalah berpatutan untuk negeri Perak.

“Pihak kerajaan persekutuan juga telah menyatakan akan memberikan bantuan peruntukan untuk membantu kerajaan negeri justeru kami berharap komitmen itu akan berjalan dengan baik, bagi melicinkan sukan SUKMA ini kelak,”katanya lagi.

Katanya, Perak juga tidak akan lupa untuk memberikan pengiktirafan kepada semua daerah untuk turut terlibat menjadi lokasi bagi setiap acara sempena SUKMA 2018 kelak.

Antara acara yang akan berlangsung di luar Ipoh adalah termasuk Stadium Manjung, Kuala Kangsar (Sepak Takraw), Taiping ( Sukan Berbasikal), Bagan Datuk ( Angkat Berat), dan banyak lagi.

Dr Zambry berkata beliau telah melihat semangat juang yang tinggi di antara 65 atlit SUKMA yang dikenalpasti dan semuanya dilihat begitu berpotensi untuk membawa Perak menuju kejayaan dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Kita memberi fokus kepada bakat dan potensi yang digilap seawal mungkin, untuk memastikan kemenangan Perak meraih pingat emas apatah lagi kita akan menjadi tuan rumah pada SUKMA kali ini,”katanya lagi.

 

Zambry-SUKMA 4