PARIT BUNTAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak telah menyalurkan sebanyak RM178 juta kepada 8,000 nelayan yang berdaftar di negeri ini sejak Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) diperkenalkan pada Jun 2008.

Pengarahnya, Zarina Abd Latiff berkata daripada jumlah itu, seramai 3,800 nelayan merupakan penerima dari daerah Parit Buntar.

Beliau berkata selain ESHN, LKIM juga turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lain seperti bantuan membaik pulih rumah nelayan dan sebagainya.

“Sepanjang tahun ini, LKIM sudah membaik pulih tiga buah rumah nelayan dan membina sebuah rumah baharu di negeri ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM79,000 iaitu RM13,000 bagi membaik pulih dan RM40,000 bagi membina rumah baharu yang ditanggung oleh LKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan anak-anak nelayan daerah Kerian di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian di Taman Kurau Aman, Kuala Kurau, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Parit Buntar Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Pada majlis itu, seramai 300 anak-anak nelayan menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang yang disumbangkan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kerian.

Sementara itu, Othman Zaini, 42, yang merupakan bapa kepada seorang daripada penerima berkata wang bantuan itu sedikit sebanyak telah meringankan beban golongan nelayan sepertinya dalam menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Beliau berkata wang tersebut akan digunakan untuk membeli barang kelengkapan sekolah anaknya. -BERNAMA