IPOH: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menggesa supaya mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah tampil memberi penjelasan yang telus kepada seluruh rakyat mengenai dakwaan kehilangan wang tabung amanah pembayaran tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion.

Beliau yang juga merupakan Ahli PArlimen Teluk Intan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong berkata pihak polis perlu menyiasat perkara itu dengan memanggil kedua-dua individu tersebut untuk memberi keterangan.

“Duit ini telah lesap dan mengikut Akta Aturcara Kewangan 1957 duit itu wajib dimasukkan dalam akaun amanah, malah tidak boleh digunakan dan disentuh. Jika ia lenyap digunakan untuk tujuan lain, ia adalah satu pecah amanah.

“Kita dapati daripada rekod Kementerian Kewangan jumlah hutang daripada tahun 2015 dalam tempoh tiga tahun jumlah patut dibayar balik tetapi gagal adalah sebanyak RM19.4 bilion hanya tinggal sedikit sahaja jadi pihak polis perlu ambil tidakan tegas termasuk merekodkan kenyataan mantan menteri kewangan serta mantan KSU Kewangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Ipoh Timur dan Dun Tebing Tinggi di Jalan Pasir Puteh, Ipoh hari ini.

Pusat khidmat tersebut merupakan pusat khidmat ketiga yang dilancarkan dan terdapat 15 pusat khidmat bakal disediakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya lagi, laporan Polis telah dibuat pada Khamis lalu mengenai dakwaan tersebut.

“Siapa yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan kerana jumlah ini cukup besar jika tidak dibayar balik banyak peniaga dan kilang akan bankrap aliran wang tunai akan terjejas.

“Duit itu hilang ke mana dipakai untuk tujuan apa dua individu ini perlu jelaskan yang adil telus dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.