IPOH: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM1juta bagi tahun 2017, khusus untuk pembangunan sektor ikan hiasan di Perak.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukkan itu bertujuan untuk pembangunan ikan hiasan, pengurusan sumber perikanan darat dan pembinaan Pusat Konservasi Penyu di Segari, Manjung.

Menurut Menteri Besar, peruntukkan itu merupakan peningkatan sebanyak RM0.65juta berbanding tahun lalu iaitu RM0.45juta.

“Peruntukan tersebut digunakan bagi tujuan peningkatan kualiti ikan hiasan untuk memenuhi keperluan eksport ke Negara Kesatuan Eropah, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya dalam pembentangan bajet 2017 Perak ketika Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 di Ipoh pada Selasa.

Tambah beliau peruntukan itu juga untuk meningkatkan kesedaran biosekuriti ikan hiasan dan akuakultur bagi tujuan kawalan penyakit, juga pematuhan standard persijilan.

“Ini bagi memastikan negeri Perak terus menjadi negeri pengeluar utama ikan hiasan di Malaysia,” ujarnya.