GEORGETOWN: Kerajaan negeri hari ini menerima sumbangan RM2.5 juta daripada empat syarikat terkemuka untuk Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan).

Empat syarikat terbabit adalah Ideal Property dan Aspen Group yang masing-masing menyumbang RM1 juta, manakala Unimech Group Bhd (RM300,000) dan Lumson Bina Engineering (RM200,000).

Sumbangan disampaikan wakil syarikat masing-masing kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, pihaknya akan terus menyokong teguh usaha kerajaan Persekutuan terutama dalam hal menyelesaikan masalah hutang negara.

“Walaupun derma diterima tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah hutang negara pada kadar yang cepat, namun semangat cintakan Malaysia ini berjaya menyatupadukan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, setakat jam 3 petang semalam, lebih RM56.6 juta berjaya dikumpulkan Tabung Harapan.

Jumlah sumbangan itu dimaklumkan Kementerian Kewangan melalui laman web kementerian itu.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452 dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja – berita harian