SUNGAI PETANI – Dalam usaha merealisasikan pembinaan surau dianggarkan bernilai RM400,000 bagi Sekolah Dar al Maarif di Sungai Layar di sini, Pasaraya Econsave Taman Petani Jaya bersama Sinar Harian dan juga 17 badan bukan kerajaan (NGO) menjalin kerjasama menganjurkan jualan amal barangan terpakai berharga RM2.

Jalinan usahasama itu melalui program Sinar Di Hati bersama pihak Econsave Wilayah Utara buat kali keempat selepas program kutipan dana bantu Madrasah Nagore di Butterworth dan Maahad Al Iman LiUlumil Quran, Pantai Cicar, Kuala Ketil serta Program Serahan Bantuan di Tanjung Dawai pada tahun lalu.

Untuk kali keempat juga, kutipan dana akan dikumpulkan melalui lelongan pakaian dan juga barangan terpakai yang didermakan oleh orang awam mahupun mana-mana organisasi awam ataupun swasta yang ingin turut sama menjayakan program kebajikan berkenaan.

Setiap barangan dikumpulkan itu akan dijual semula dengan harga RM2 yang membantu pasar raya berkenaan mengumpul dana sebanyak mungkin dalam usaha menampung kos pembinaan surau sekolah berkenaan yang dijangka dibina Ogos tahun ini.

Jualan amal itu dilancarkan untuk tempoh sebulan, bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Mac ini. Berikutan itu, mana-mana pihak ingin menyumbang dari segi pakaian ataupun barangan elektrik atau barangan lain yang masih elok ataupun barangan makanan atau barangan yang baru dibeli juga dialu-alukan berbuat demikian.

Bagi mereka yang ingin menyumbang wang dialu-alukan terus kaunter pasar raya berkenaan yang turut menyediakan tabung khas untuk kutipan dana.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, selain jualan barangan terpakai, sebagai acara kemuncak pihaknya juga merancang untuk mengadakan Karnival Econsave Mega Gathering/ Autoshow dan juga jualan konsep bidaan pada hujung bulan dalam membantu mencari dana sebanyak mungkin untuk disumbangkan kepada pusat pendidikan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sasarkan kutipan dana sebanyak RM20,000 menerusi aktiviti dijalankan adalah program sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat sosial (CSR) Econsave kepada komuniti setempat dan pihaknya turut berkongsi rezeki dan pahala dengan mengajak orang ramai turut bersama mereka untuk menderma untuk tujuan amal berkenaan.

Hadir sama, Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Utara, Roslinda Hashim; Pegawai Perhubungan Awam JPJ Kedah, Iskandar Zulkarnain Mohamad Ali; Ketua Cawangan JPJ Sungai Petani, Mohammad Jalil Mat Lazim; Ketua Skuad Muda 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (SM1JPJ) Kedah Mohamad Azam Ali; Pengurus Cawangan Econsave TPJ, Saparin Abu Seman dan wakil NGO yang terlibat.

Sementara itu, Mudir dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan, Amir Mohd Nason berkata, sekolahnya mula beroperasi sejak 1989 di sebuah bangunan yang disewakan.

Menurutnya, tahun lalu, sekolah berkenaan dipindahkan ke bangunan sendiri yang kini mempunyai kira-kira 320 pelajar, namun bangunan baharu itu tiada kemudahan surau.

“Buat masa ini, dewan sekolah digunakan sebagai surau. Untuk melengkapkan kemudahan ini, kami menerusi program ini mencari dana pembangunan surau dua tingkat lengkap kemudahan berkaitan.

“Selain kegunaan pelajar, surau ini juga digunakan untuk program dijalankan masyarakat,” katanya.

Sebarang pertanyaan tentang projek amal boleh hubungi Econsave Taman Patani Jaya di talian 04-4239003/9004.

-SinarHarian