IPOH: Kerajaan negeri Perak melancarkan Kad Perak Prihatin dengan peruntukan RM22 juta untuk memberi bantuan tambahan kepada lebih 17,000 rakyat miskin di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan diberikan kepada penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitul Mal.

Menurut beliau, kad itu mengandungi RM80 bantuan bulanan untuk pembelian barangan keperluan harian dan RM300 setahun untuk perkhidmatan kesihatan.

“Kita membantu mengikut kemampuan kita, hari ini kita lihat lebih daripada 17,000 orang yang memerlukan bantuan dan setakat ini kita cuma mampu sebanyak RM80 sebulan untuk kad makanan.

“Maka, kita salurkan yang itu terlebih dahulu dan saya sentiasa akan mencari jalan bagaimana kita nak bantu lebih tetapi saya tak nak kita capai satu jumlah yang tinggi kononnya kita nak bantu dengan RM200 atau RM500 sebulan, kita nak tunggu cari duit tu dulu tapi bila pula kita nak lancarkan. Jadi kita buat mana yang mampu dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kad itu di sini pada Rabu.

Menurut Ahmad Faizal, setakat ini sebanyak 169 buah kedai dan pasaraya telah dilantik sebagai panel pembelian barangan keperluan harian dan 400 buah klinik swasta telah mendaftar sebagai panel untuk program berkenaan.

Beliau berharap lebih banyak kedai atau pasaraya dan klinik menjadi panel program itu, khususnya yang terdapat di kawasan luar bandar.

Terdahulu di dalam ucapannya, Menteri Besar menekankan, di sebalik pelancaran program itu, kerajaan negeri beriltizam untuk membantu semua golongan miskin dan miskin tegar supaya keluar daripada garis kemiskinan dan dapat berdikari.

“Kita mahu memberi keutamaan kepada mengeluarkan lebih ramai rakyat daripada garis kemiskinan, berbanding sekadar memberi penekanan kepada menambah bilangan penerima saban tahun semata-mata,” ujarnya.

Menurutnyam kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi berkaitan untuk menjalankan inisiatif perusahaan atau perniagaan social (social enterprising) di kalangan golongan miskin dan miskin tegar.

“Adalah menjadi harapan kita, supaya lebih ramai rakyat Perak mampu menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan, seterusnya membina perniagaan yang mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada individu.

“Ini adalah kitaran positif yang kita mahu wujudkan dalam usaha memastikan semua rakyat dapat menikmati kekayaan negeri dan negara ini,” tambahnya.