PASIR SALAK: Sebanyak RM25 juta elaun sara hidup diperuntukkan oleh kerajaan kepada lebih 5,000 nelayan darat di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2015 dan 2016 bagi membantu meringankan beban mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jumlah berkenaan merangkumi masing-masing RM12.5 juta yang diperuntukkan kerajaan pada tahun 2015 dan tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 691 nelayan di seluruh Perak telah menerima limpahan manfaat daripada elaun berkenaan pada tahun 2015 dan seterusnya meningkat kepada 703 orang pada tahun berikutnya, yang melibatkan peruntukan mencecah RM1.37 juta.

“Bagi melayakkan golongan nelayan menerima ini, mereka perlu mendaftar dan perkara ini sebenarnya tidak sukar, yang penting mereka perlu menjalankan aktiviti menangkap ikan selama 25 hari dalam sebulan sama ada di sungai, tasik atau bekas lombong.

“Bukan main-main sebagai nelayan, tetapi melaksanakan tanggungjawab sebagai nelayan yang betul walaupun hanya dilakukan beberapa jam sahaja sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup kepada 94 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah di Pusat Pengumpulan Ikan Air Tawar Kampung Baru di sini pada Selasa.

 

elaun sara nelayan 4Dalam majlis tersebut, Tajuddin turut menyerahkan benih ikan patin kepada Sukarelawan Perikanan (Super) Mukim Pulau Tiga yang mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar selain melepaskan benih udang galah di perairan Sungai Perak.

Menurut Tajuddin, selain memberikan elaun sara hidup tersebut, kerajaan juga telah membelanjakan lebih RM5.7 juta untuk membaik pulih 616 rumah milik nelayan darat di negeri ini.

Jelasnya, inisiatif kerajaan yang dilaksanakan melalui Projek Perumahan Nelayan Darat itu bertujuan untuk memberikan keselesaan selain memperbaiki taraf hidup dan tempat tinggal yang lebih baik bagi golongan berkenaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat dan elaun khas ini adalah untuk meringan beban yang ditanggung oleh nelayan darat bagi mendepani kenaikan kos sara diri masa kini,” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini hanya sekitar 10 peratus nelayan darat yang masih belum mendaftar di seluruh Negara dan peratusan itu adalah agak kecil.

“Namun begitu saya amat berharap golongan ini segera mendaftar kerana banyak manfaat dan insentif yang boleh mereka peroleh melaluinya. Rugi kalau mereka mensia-siakan peluang ini,” katanya lagi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampng Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.