LENGGONG: Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM250 juta untuk melaksanakan projek di bawah program Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 bagi menangani masalah banjir di Perak.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu merangkumi tiga objektif utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1, ‘Living River’ dan Saliran Mesra Alam.

Katanya program terbabit akan melibatkan kawasan sekitar Lenggong, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Kampung Gajah dan Teluk Intan.

“Di sini banyak punca banjirnya, antaranya disebabkan berapa batang sungai dan anak sungai yang mengalir dari Sungai Perak.

“Ditambah pula sekarang dengan keadaana cuaca tidak menentu, hujan sehinggakan air Sungai Perak terkumpul dan melimpah ke kawasan-kawasan rendah, jadi projek ini akan cuba menampung masalah-masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Lenggong pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ir Hamim berkata, projek tersebut bakal mengurangkan risiko banjir akibat pertembungan air pasang dan limpahan air di Sungai Perak sebanyak 90 peratus, sekaligus memberi manfaat kepada 250,000 penduduk sekitar.

Projek tersebut kini dalam peringkat pelantikan kontraktor.

Sementara itu, beliau memberitahu, meskipun dengan pelaksanaan projek berkenaan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah diminta menyediakan kajian menyeluruh penyelesaian masalah banjir di negeri ini bagi jangka masa panjang.

8268222e-c7c5-446c-9df1-f9cdeb620572