IPOH – Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM250,000 sebagai persiapan atlet Perak bagi menghadapi kejohanan PARA Sukan Malaysia (SUKMA) XIX yang bakal berlangsung pada 21 hingga 28 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri,  Howard Lee Chuan How berkata, peruntukan yang baru sahaja diluluskan baru-baru ini itu adalah untuk perbelanjaan melibatkan pengajuran, elaun dan penginapan untuk atlet serta jurulatih negeri yang terlibat.

 

 “Ini antara tanda sokongan yang dizahirkan kerajaan negeri untuk pembangunan dan kemajuan sukan khusus kepada atlet para. 

“Kita juga berharap dana yang diperuntukkan ini akan menjadi pemangkin kepada para atlet untuk menampilkan preatasi memberangsangkan sekaligus mengharumkan nama negeri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Pesta Kerjaya Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di sini, pada Sabtu. 

Tambah Howard, seramai 2,000 individu terdiri daripada atlet dan pegawai daripada 15 kontijen negeri akan terbabit dalam temasya yang bakal berlangsung sebulan selepas penutupan SUKMA XIX pada 22 September depan.

Katanya, sebanyak 370 acara melibatkan pelbagai kategori dan jenis sukan akan dilangsungkan di sembilan venue sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

 

 “Sebahagian besar sektretariat SUKMA XII Perak 2018 akan dikekalkan untuk melancarkan persiapan temasya ini.

“Kita berharap kejohanan ini akan berlangsung lancar dan meriah pada masa yang sama dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan,” katanya – sinar