TELUK INTAN – Kementerian kewangan meluluskan peruntukan RM3.6 juta bagi kerja menaiktaraf sebuah stadium mini serta pembaikan sebuah masjid yang mengalami masalah mendap struktur lantainya di Teluk Intan, dan tender bagi kedua-dua projek itu akan dibuat tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berkata RM2 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf, termasuk pemasangan lampu limpah di Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi di Selabak di sini.

“Sejumlah RM1.6 juta lagi adalah untuk kerja-kerja pembaikian struktur lantai mendap Masjid At-Taqwa di Kampung Padang Tembak yang berlarutan hampir 10 tahun lamanya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas lawatan kerjanya di masjid itu hari ini.

Turut hadir Jurutera Daerah Hilir Perak Abdul Rani Harun, dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terence Naidu.

Nga yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata peruntukan itu merupakan hadiah kepada rakyat terutamanya yang tinggal berhampiran Selabak dan Padang Tembak, yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan.

Sementara itu Abdul Rani berkata kerja tender bagi pembaikan pemendapan lantai masjid At-Taqwa akan bermula bulan hadapan dan dijangka pada Februari nanti akan bermula kerja baik pulihnya, manakala naik taraf stadium akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sementara itu, pengerusi Masjid At-Taqwa Datuk Ayub Mohamad berkata ini merupakan peruntukan terbesar dan kali yang kedua disalurkan oleh kerajaan kepada pihak masjid sejak 2013 dalam menangani masalah pemendapan struktur lantai masjid.

“Kita sudah menunggu agak lama perkhabaran gembira ini dan harapnya semua masalah yang dialami masjid ini akan selesai dengan peruntukan yang besar ini,” katanya.

Stadium mini yang siap November 2015 itu dilengkapi trek larian mengikut piawaian antarabangsa, International Association of Athletics Federations (IAAF) serta kemudahan olahraga.

Masjid At-Taqwa yang siap dibina pada 2013 pula dibaik pulih oleh kontraktor sudah beberapa kali sebelum ini, namun struktur tanah mendap kawasan masjid itu mengakibatkan masalah yang dialaminya tetap berulang. – Bernama