IPOH: Sebanyak RM351 juta peruntukan disediakan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk melaksanakan 16 program pembangunan usahawan belia pada tahun 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara program itu ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), yang memberi latihan dan geran permulaan RM15,000.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun ketiga program TUBE dijalankan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Selepas dua tahun, di Perak, daripada 64 usahawan yang menamatkan program ini, jumlah jualan mereka ialah RM790,393 dan ini sesuatu yang membanggakan,” katanya ketika menjawab soalan asal Salbiah Mohamed (BN – Temengor) pada Sidang DUN.

Samsudin menambah, program itu juga telah berjaya mewujudkan 77 peluang pekerjaan di samping terdapat usahawan yang berjaya memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 sebulan.

Di samping program itu, ujarnya, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) juga menyediakan tiga jenis kemudahan Skim Pinjaman Mikro Kredit iaitu Skim Pinjaman Iktisad Bina Upaya, Skim Pinjaman Mikro Kredit Belia Niaga Amanjaya dan Skim Pembiayaan Kluster Ekonomi Keluarga Amanjaya.

“Usahawan daripada golongan belia juga boleh memohon salah satu daripada skim pinjaman tersebut,” kata beliau.

Melalui Giatmara Perak pula, kata Samsudin, program peningkatan ekonomi belia di bawah mobilepreneur akan memberi manfaat kepada 50 usahawan belia.

Menurut beliau, sebanyak RM10,000 peruntukan disediakan untuk membangunkan mobilepreneur dalam perniagaan yang berorientasikan kepada perkhidmatan seperti servis kereta, motosikal dan penghawa dingin.