IPOH: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyalurkan RM3 juta bagi tujuan pembangunan Pusat Keamanan Sejagat dan Anti Keganasan ASEAN yang ditubuhkan hasil daripada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan pusat itu dilihat sebagai satu langkah yang bermanfaat kepada kajian kritikal dan akademik yang berkaitan dengan pencegahan keganasan di peringkat global.

Jelasnya, pusat itu juga bakal bertindak sebagai hab untuk mengumpulkan para pemikir yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan pertahanan untuk melaksanakan wacana intelektual mereka.

Katanya lagi, pusat tersebut diyakini akan menjadi platform untuk menghasilkan kajian dan pengalaman serta jalan penyelesaian terhadap isu keganasan yang dapat dikongsi di peringkat antarabangsa.

“Komitmen Malaysia ini bukan sahaja diterjemahkan dalam resolusi persidangan (WCIT) ataupun desakan daripada masyarakat antarabangsa dan negara luar, tetapi kita lakukan sendiri demi menterjemahkan komitmen kita.

zahid-wcit 4

“Kita tidak pernah berkompromi jika mana-mana pihak yang menggugat keselamatan kita. Secara peribadi, saya juga mengambil tahu pembanterasan yang sedang dilakukan bagi mengatasi permasalahan keganasan dan hal-hal berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan WCIT edisi keempat di Hotel Casuarina@Meru pada petang Selasa.

Ahmad Zahid berkata, pusat itu akan menjalinkan kerjasama dengan King Salman Centre for International Peace dan Unit Keganasan Bukit Aman untuk membanteras sebarang ancaman keganasan di negara ini.

Jelasnya, sumbangan Malaysia dalam mengilhamkan Pusat Keamanan Sejagat dan Anti Keganasan ASEAN melalui WCIT juga dilihat sebagai langkah mewujudkan sebuah institusi yang ikonik di peringkat global.

“(Peruntukan) itu boleh digunakan, pelbagai perkara yang boleh digunakan selain penubuhan, mungkin kajian dapat dibuat, persidangan, bengkel dan lain-lain aspek yang berkaitan untuk mewujudkan keamanan dunia dan mengelakkan keganasan, kekerasan.

“Kita mahu juga pengamal-pengamal hal ehwal keselamatan dan pertahanan dapat (bersama), dilaksanakan di dalam pusat itu,” katanya lagi.