HUTAN MELINTANG: Malaysia akan menghantar bantuan makanan dan peralatan bernilai RM4 juta kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi bantuan kemanusiaan itu adalah sumbangan kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat penerbangan.

Menurut beliau, keputusan penghantaran bantuan kemanusiaan itu turut dipersetujui oleh semua Presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu petang Jumaat.

Ujarnya, mengikut laporan media antarabangsa, 400 bangsa Rohingya telah mati dan ada yang dibakar hidup-hidup ketika solat subuh yang beliau sifatkan tiada perikemanusiaan langsung.

“Ini adalah soal kemanusiaan, apa yang berlaku di Myanmar tidak boleh diterima akal.

“Kita ketepikan perbedaan agama, kita ketepikan perbedaan bangsa kerana perikemanusiaan harus dipertahankan oleh semua agama dan bangsa,” katanya ketika berucap di majlis kenduri rakyat sempena program Merdeka Rides 2017 di Dewan Serbaguna JKKK Hutang Melintang pada Jumaat.

Hadir sama Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin dan Setiausaha Agong Superbikers Association Malaysia (SAM), Datuk Sulaiman Samia’an.

Turut hadir kira-kira 150 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.

Majlis turut meraikan tiga pasangan pengantin di samping penyampaian sumbangan kepada 20 asnaf.

Zahid turut berharap agar bikers dari negara-negara ASEAN turut prihatin dengan masalah kemanusiaan, seperti yang berlaku terhadap bangsa Rohingya yang dinafikan hak untuk menyambung kehidupan.