KUALA LUMPUR: Wang berjumlah RM42 juta yang dipindah masuk ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Razak bukan wang milik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YR1M, Ung Su Ling, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau hanya dimaklumkan bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, untuk mengarahkan bekas CEO Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman memindahkan wang itu ke dalam akaun terbabit.

Su Ling yang juga saksi ke-49 pendakwaan, berkata beliau hanya diberitahu, kesemua wang itu untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Saksi itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata pada Disember 2014, beliau diarahkan oleh Azlin untuk memberitahu Dr Shamsul supaya memindahkan RM27 juta dan RM5 juta secara berasingan ke dua akaun Ambank.

Su Ling yang sekarang tidak bekerja, berkata beliau turut dimaklumkan secara lanjut nombor dan akaun itu melalui aplikasi WhatsApp, bagaimanapun tidak menyimpan pesanan itu kerana sudah memadamkan nombor Azlin selepas kematiannya.

Melalui maklumat yang diterimanya daripada Azlin, Su Ling berkata beliau menghantar emel kepada Dr Shamsul mengenai maklumat pindahan wang RM27 juta daripada akaun IPSB ke dalam akaun 211-202-201188-0 atas nama AmPrivate Banking -1MY dan RM5 juta ke dalam akaun 211-202-201190-6 atas nama AmPrivate Banking – MY.

“Pada Februari 2015, saya dihubungi Azlin melalui WhatsApp dan beritahu ada wang IPSB dipindah masuk dalam ke dalam akaun IPSB dan Azlin arahkan saya beritahu Dr Shamsul pindahkan RM10 juta ke dalam akaun Ambank atas nama AmPrivate Banking – 1MY.

“Pada 9 Februari 2015, saya menerima satu emel daripada Aisyah Ghazali di IPSB memaklumkan borang pemindahan wang sudah disediakan.

“Saya kemudian memanjangkan emel sama kepada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu untuk beritahu pindahan wang oleh IPSB itu selepas jam 2 petang dan hanya akan diproses keesokannya (10 Februari 2015),” katanya.

Su Ling berkata, sepanjang tahun 2013 sehingga 2015, YR1M menyalurkan RM120 juta kepada IPSB bagi pelaksanaan program yang dirancang, membabitkan penyaluran dana RM70 juta pada 2013; RM40 juta (2014); dan RM10 juta (2015).

Katanya, sejak awal penubuhan pada tahun 2013, YR1M menerima peruntukan dana berjumlah RM210 juta daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“YR1M mempunyai tiga akaun bank kesemuanya dengan Ambank Berhad… akaun pertama adalah akaun untuk pembiayaan perbelanjaan projek di mana sumber wang adalah dari sumber perjudian daripada syarikat Kumpulan Genting.

“Akaun kedua adalah akaun untuk pembiayaan perbelanjaan operasi YR1M manakala akaun ketiga adalah akaun untuk pembiayaan perbelanjaan projek di mana sumber wang adalah daripada sumber lain,” katanya.

 

-BeritaHarian