KUALA LUMPUR: Sejumlah RM5.779 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara selaku pemegang amanah hingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata ia meliputi lebih 55 juta akaun seperti simpanan, semasa atau perniagaan sejak tahun 1977.

“Individu yang terbabit perlu hadir sendiri ke mana-mana kaunter WTD untuk membuat semakan dan menuntut wang mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah serta strategi kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan WTD.

Katanya, sebanyak 25 kaunter Bahagian WTD disediakan di seluruh negara iaitu 13 di Semenanjung Malaysia; Sarawak (7) dan di Sabah (4) manakala sebuah kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.

Jelasnya, sebagai pemegang amanah, kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang berkenaan dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut.

WTD ialah wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh tertentu, seperti ditetapkan Akta Wang Tak Dituntut 1965.

-AstroAwani