KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak telah membelanjakan sebanyak RM573 juta untuk pembangunan infrastruktur air sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Lembaga Air Perak (LAP) telah membaikpulih dan meningkatkan kapasiti pengeluaran air sebanyak 325 juta liter sehari.

sultan n zainol2

Di samping itu, kata beliau LAP juga memasang paip sepanjang 700 kilometer dan meningkatkan kapasiti simpanan sebanyak 57 juta liter untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi dan berkualiti.

 

“Usaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan infrastruktur bekalan air memerlukan tindakan yang berterusan bagi menarik pelaburan dan menjadi pemangkin terhadap pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di majlis perasmian  Loji Rawatan Air Kampung Senawar, Kuala Kangsar pada Selasa yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Zainol berkata, pelan perniagaan LAP 2016-2018 akan dapat membaikpulih dan meningkatkan kapasiti pengeluaran air sebanyak 222 juta liter sehari, memasang paip sepanjang 300 kilometer dan meningkatkan kapasiti simpanan 57 juta liter lagi.

sultan n zainol3

Katanya, walaupun pengurusan infrastruktur dan penyediaan infrastruktur air memerlukan modal yang tinggi dan dibiayai sepenuhnya melalui hasil jualan air, namun kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyediakan bekalan air yang mencukupi dengan harga yang berpatutan, demi kesejahteraan rakyat.

 

Mengenai Lori Rawatan Air Kampung Senawar, beliau memberitahu, pembinaan loji itu telah dimulakan pada Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada April 2016 dengan kos RM46.2 juta.