KUALA KANGSAR: Sejumlah RM8 juta diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi Program Tuisyen Rakyat yang memfokuskan peningkatan prestasi akademik, khusus bagi pelajar luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut akan melibatkan sekitar 30,000 pelajar untuk mencapai objektif mentransformasikan keputusan dan penguasaan ilmu golongan tersebut.

Menurut beliau, kelas bimbingan atau tuisyen percuma anjuran KKLW itu mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dari kawasan luar bandar yang bakal menduduki peperiksan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Untuk mempastikan kesemua mendapat manfaat ini, kami berazam untuk jadikannya 1 Parlimen 1 Tuisyen, melalui beberapa agensi kerajaan seperti RISDA, FELCRA , YPM, KETEGAH.

“Pelajar dan murid yang bakal menduduki peperiksaan besar akan diberikan kelas bimbingan subjek, kelas insentif, kelas tambahan dan motivasi peperiksaan,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen  Kuala Kangsar KKLW di Dewan Jubli Perak, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kelas bimbingan percuma itu akan menumpukan beberapa subjek teras dalam UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan juga tambahan Sejarah bagi SPM.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memilih pelajar dan murid bagi program tuisyen percuma itu dengan kerjasama agensi dan pelaksana dari Pejabat Pendidikan Daerah.

“Kerajaan melalui KKLW komited terhadap pembangunan aspek sosial dan kendiri kesemua pelajar luar bandar, dan akan sentiasa melaksanakan agenda mengutamakan pendidikan rakyat,” ujar beliau.