TAIPING- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM 9 juta bagi membaikpulih dan membangunkan semula Pasar Taiping yang merupakan pasar tertua di Malaysia.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, kerja membaikpulih pasar itu akan bermula secepat mungkin dengan tempoh jangkaan siap sepenuhnya dalam masa dua tahun.

Ujarnya lagi, sehingga kini terdapat 222 petak peniaga di Pasar Taiping yang melibatkan dua plot berkeluasan 1.13 ekar.

“Kita lihat bangunan di Pasar Taiping ini memang berbentuk heritage, nilai tradisional semua ada di sini, jadi harus dikekalkan dan dibaikpulih.

“Saya amat kagum dengan pengurusan pasar ini kerana tidak seperti yang terjadi di pasar Kuala Lumpur dan Selangor, peniaga itu “tangan atas tangan”, syabas kepada Majlis Perbandaran Taiping yang mampu kekalkan peniaga tulen di pasar ini.

“Mungkin akan ada tempat sementara untuk para peniaga teruskan perniagaan, terpulang kepada perancangan yang dibuat oleh MPT, asalkan ia tidak menjejaskan peniaga di sini,”katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri taklimat pembangunan Pasar Taiping sempena Lawatan Turun Padang ke daerah Larut Matang, di sini pada Selasa.

Zuraida berkata, buat permulaan RM 1 juta akan disalurkan untuk kerja-kerja permulaan tahun ini.

Pasar Taiping wujud sejak tahun 1880 dan berusia lebih 100 tahun, tapak pasar ini telah dicalonkan sebagai Tapak Warisan di Bawah Akta Warisan Kebangsaan.