Kuala Lumpur: “Pembinaan kepuk yang terlalu besar dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan akan dirobohkan bagi memudahkan sistem pengurusan pengebumian untuk jangka masa panjang,” demikian ujar Biro Pengurusan Jenazah Masjid Al Faizin Desa Jaya, Kepong, Nazaruddin Mohamed Ferdoos, 43, semalam.

Menurut beliau, sejak 2013, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mengeluarkan arahan mengehadkan pembinaan kepuk di semua kawasan kubur di negeri ini termasuk Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, Bukit Laggong, Kepong.

“Kawasan perkuburan Islam adalah tanah wakaf dan sementara yang digazetkan JAIS bagi kemudahan penduduk sekitar.

“Mengikut Enakmen Pentadbiran Islam 1989, Kaedah-Kaedah Pegawai Majlis dan Jawatankuasa Qariah (Negeri Selangor) 1995, Seksyen 13 1b, menetapkan bahawa tiada kerja pembinaan di atas tanah wakaf dan perkuburan Islam tanpa kebenaran,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan segelintir waris membina ‘pusara banglo’ untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Tambahnya, selain mengambil tindakan meroboh, pihaknya juga akan membuat aduan kepada JAIS bagi tindakan selanjutnya sekiranya terdapat waris jenazah yang ingkar dengan arahan ditetapkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

-myMetro