KUALA LUMPUR – Nasib yang menimpa penduduk Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang rumah mereka dirobohkan pagi semalam bukannya tidak mendapat perhatian daripada wakil rakyat kawasan.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman tidak cuci tangan sebaliknya dalam kapasiti beliau sebagai wakil rakyat, beliau telah berusaha untuk membantu penduduk yang terbabit bagi mendapatkan Rumah Selangorku yang mana, jika prosedur biasa yang perlu dilalui oleh pemohon, tempoh menunggu untuk memiliki rumah mengambil masa sehingga lima tahun.

Mohd. Khairuddin Othman

Mohd. Khairuddin yang menghubungi semula wartawan Utusan Online, Hasnurul Mohamed sejurus mendapat mesej yang dhantar menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 10.19 pagi ini, memberi pencerahan berhubung kemelut yang berlaku membabitkan penduduk di Paya Jaras Hilir.

“Penduduk di situ kena faham status pembinaan rumah di atas tanah rezab sungai yang mana sejak tahun 2008 lagi, telah dirangka program untuk melebarkan Sungai Kedondong kerana masalah banjir yang melanda kawasan- kawasan Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Dalam.

“Pada tahun 2015 pihak Jabatan Pengairan Selangor (JPS) telah mengeluarkan notis berhubung kerja-kerja pelebaran sungai berkenaan tetapi pada ketika itu, kita tidak mahu mengganggu penduduk sekitar kerana tiada gantian tawaran rumah yang dikeluarkan.

“Akan tetapi, program perlu dilaksanakan dan kita berusaha meminta Lembaga Perumahan untuk mengeluarkan surat tawaran Rumah Selangorku yang mana, surat tawaran tersebut telahpun diserahkan kepada penduduk-penduduk yang terbabit,” katanya membuka bicara menerusi telefon.

Menurut Mohd. Khairuddin, seramai 80 orang penduduk di Kubu Gajah menerima tawaran dan telahpun berpindah ke rumah PPR, mengosongkan rumah masing-masing tanpa timbul sebarang kekecohan dan perkara yang sama iaitu menawarkan Rumah Selangorku, turut dilakukan kepada penduduk di Paya Jaras Hilir.

Tambah beliau, program melebarkan Sungai Kedondong masuk ke Audit Negara yang mana pihak Kerajaan Tempatan perlu melaksanakan program sepertimana yang telah dirancang.

“Jadi tahun 2019, kita perlu memulakan proses merobohkan rumah-rumah bagi memberi laluan kepada pelebaran sungai yang mana penangguhan yang berlaku selama ini membuatkan kita terpaksa menanggung kerugian RM2 juta kerana perlu membayar kontraktor.

“Isunya di sini, notis telah pun dikeluarkan untuk penduduk di Paya Jaras Hilir mengosongkan dan berpindah yang mana notis itu bertarikh 5 Ogos. Kalau ditangguhkan lagi kerja-kerja pelebaran sungai, maka empat kampung akan terus dibelenggu masalah banjir sampai bila-bila.

“Saya ingat Azroy ada berjumpa saya untuk mengemukakan tuntutan iaitu tunggu anak-anak sehingga habis peperiksaan. Berdasarkan bancian, kita juga tidak mahu kacau keluarga yang mempunyai anak-anak yang sedang dan bakal menduduki peperiksaan.

“Jadi, notis bertarikh 5 Ogos itu ditaangguhkan sehingga 16 September dan rumah-rumah yang dirobohkan semalam tidak mempunyai anak-anak yang sedang menduduki sebarang peperiksaan,”jelas beliau.

Untuk rekod, Azroy Manaf ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir.

Mohd. Khairuddin menegaskan, tiada berlakunya pelanggaran syarat dan tiada sesiapapun berjanji apa-apa dalam pelaksanaan merobohkan rumah penduduk di Paya Jaras Hilir

 

-UtusanOnline