Kerajaan Negeri sedaya upaya memperhalusi dan mewujudkan hubungan bersama mahasiswa Perak bagi menghalang tembok pemisah di antara kedua belah pihak.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, usaha itu penting dalam mempertingkatkan interaksi antara mahasiswa dan kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu wujudnya tembok di antara saudara dan kerajaan negeri kerana tanggapan bahawa kedudukan saudara di bawah dan kita (kerajaan negeri) di atas wajar ditepis.

“Oleh kerana itu kita mahu perhalusi masalah yang mendesak oleh mahasiswa Perak memandangkan anda semua bakal menjadi pelapis pemimpin di masa hadapan,” ujar Dr Zambry.

Tambahnya, rasa ‘sense of belonging’ (rasa kepunyaan) dalam kalangan mahasiswa memainkan peranan penting bagi membentuk perwatakan masing-masing.

“Saya percaya mahasiswa Perak yang ada hari ini berperanan penting lebih-lebih lagi dalam menuju tahun 2050 nanti.

“Apabila mereka sudah berjaya maka akan ada rasa kesedaran untuk menyumbang semula kepada negeri Perak,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Ketiga Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP) di Intan Ballroom, The Orient Star Resort, Lumut pada Ahad.

Hadir sama Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Mohd Gazali Jalal.

MPMP dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober 2012 sewaktu Persidangan Pertama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak.

Konsepnya hampir sama dengan Majlis Perundingan Mahasiswa Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang kesemuanya terdiri daripada wakil MPP Institusi Pengajian Tinggi.

Setelah itu, konsep ini dibawa ke peringkat negeri Perak dan secara langsung tertubuhnya MPMP yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Perak.

Antara kertas kerja yang dibentangkan semasa persidangan ini berlangsung ialah cadangan pembubaran AJK Eksekutif (Exco), cadangan pelantikan AJK Eksekutif (Exco) baru serta cadangan pengwujudan perwakilan mahasiswa India (dua orang).

Dalam pada itu usul yang diketengahkan termasuk isu kebajikan, pembangunan mahasiswa dan pinjaman pengajian tinggi.