TAIPING – Kerajaan negeri berharap agar Hari Robotik dapat dijadikan platform berguna sebagai pendedahan kepada semua golongan terutama orang muda untuk menyerlahkan ilmu teknologi robotik.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, YB Howard Lee Chuan How berkata pelajar-pelajar sekolah, institut pengajian tinggi, institut kemahiran dan juga golongan belia perlu diberi pendedahan ini supaya mereka mampu menghasilkan sesuatu yang boleh membanggakan negeri Perak.

Menurutnya persepsi masyarakat umum terhadap teknologi robotik masih terbatas.

“Masyarakat masih berpandangan negatif bahawa tenaga manusia semakin digantikan dengan tenaga robotik sehingga menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan.

“Walaubagaimanapun, laporan Bank Pembangunan Asia yang bertajuk “Asian Development Outlook 2018 How Technology Affects Jobs” menyatakan bahawa hampir 57 peratus jenis jawatan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini telah terhasil berikutan pengembangan industri robotik.

Keadaan ini direkodkan berlaku ddi India, Malaysia, dan Filipina semenjak 10 tahun lepas,” kata beliau semasa ucapan perasmian Hari Terbuka Robotik 2018 yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut dilantik sebagai penasihat kepada Kelab Intelek Robotik (KIR) yang ditubuhkan secara rasmi.

YB Howard Lee berkata, teknologi seperti bayaran tanpa tunai, kereta tanpa pemandu dan penggunaan GPS merupakan suatu permulaan kepada gelombang baru revolusi industri ke arah berteknologi tinggi.

Beliau mengambil penggunaan teknik Keyhole surgery atau minimally invasive surgery dalam bidang perubatan sebagai contoh teknologi berfungsi sebagai wira yang tidak didendangkan dalam kehidupan harian masyarakat.

“Saya menyeru para belia yang menceburi bidang ilmu robotik ini agar menjalankan usaha secara ikhlas demi manfaat masyarakat dan bukannya semata-mata demi kemasyhuran.

“Saya juga berharap agar kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan sektor persendirian dapat mengelakkan berlakunya monopoli dalam penggunaan teknologi tersebut,” katanya lagi.

Beliau turut berharap agar penggabungan ilmu robotik dengan ilmu-ilmu lain, mampu menghasilkan teknologi yang meningkatkan taraf kemudahan dan kecekapan dalam bidang-bidang seperti pengangkutan, perubatan dan perindustrian.