KUALA LUMPUR: Sembilan anggota tentera diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kes rogol seorang gadis berusia 17 tahun, Disember lalu.

Semua suspek berusia 23 tahun adalah penuntut Kursus Artileri Kelas 2, siri 3/2017, di 33 Rejimen Artileri Diraja (RAD) Kluang, ditahan semalam, oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan maklumat dari pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata penahanan itu dibuat selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kelmarin.

“Dalam laporannya, mangsa menyatakan dia mengenali seorang daripada suspek terbabit sebelum diperkenalkan dengan lapan lagi anggota lain di sebuah hotel di Kluang pada petang 23 Disember tahun lalu.

“Dia kemudian mendakwa dirogol di hotel berkenaan pada hari sama sebelum dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua suspek sudah diserahkan oleh ATM kepada Polis Daerah Kluang untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Mac depan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya.

Mohd Khalil, berkata beliau tidak dapat mengulas kes berkenaan secara terperinci bagi membolehkan siasatan sepenuhnya dilakukan.

Selain itu juga, pihaknya turut tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai laporan polis yang lewat dibuat oleh mangsa.

Difahamkan satu proses kawat cam akan dilakukan dalam masa terdekat oleh mangsa berkenaan ke atas semua suspek terbabit – berita harian