PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merogol teman wanitanya berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Shahrul Imam Abdul Rahman, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 17 Oktober 2016.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di sebuah rumah di Desa Mentari, di sini, kira-kira jam 5 petang, 3 Mac 2016.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung kedua ibu bapanya, selain perlu menjaga bayi dilahirkan teman wanitanya itu.

“Saya memohon diberikan peluang kedua kerana saya ingin bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kekerapan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur – berita harian