COX’S BAZAR: Jabal Ummah (bukit ummah) barangkali nama yang asing bagi kita di Malaysia, tapi tidak bagi ribuan pelarian Rohingya yang berlindung di kem pelarian Balukhali.

Di bukit inilah yang suatu ketika dulu, hanya boleh diakses dengan berjalan kaki lebih enam kilometer jauh ke dalam, dari jalan besar Cox’s Bazar ke Teknaf, letaknya harapan mereka untuk hidup bermaruah.

Di bukit yang terletak di zon G Balukhali ini, ribuan pelarian Rohingya menumpang teduh sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar, negara yang tidak mengiktiraf etnik itu sebagai rakyatnya.

download (63)Dengan ihsan dan kebenaran pihak berkuasa Bangladesh, kawasan berbukit yang menempatkan sekurang-kurangnya 2,000 pelarian itu dipnatau badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Setakat ini, sebanyak 250 khemah sementara dan 100 telaga tiub serta lima masjid dibina oleh MAPIM di kawasan itu dan tempat lain di Balukhali, untuk meringankan beban pelarian.

Situasi itu walaupun baik jika dibandingkan dengan enam bulan lalu, namun masih banyak perlu dilakukan untuk menambah baik kemudahan asas, demi kelangsungan hidup pelarian etnik Rohingya yang hanya bergantung kepada bantuan asing.

Pengamatan penulis menyaksikan pengagihan bantuan makanan misalnya, tidak lagi sekerap dulu, malah sukarelawan mendakwa bantuan beras mula dikurangkan dan jumlah agihan lebih kecil.

Ada juga NGO yang mula terputus dana dan tidak lagi melaksanakan program bantuan di kem pelarian, termasuk di Teknaf yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Lebih 680,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos tahun lalu, selepas operasi berdarah tentera Myanmar di utara Rakhine (Arakan) yang menyaksikan berlakunya pencabulan hak asasi ke atas Rohingya apabila mereka dilaporkan dibunuh, dirogol dan rumah mereka dibakar.

Jamaliddin Elias, yang mengetuai projek ‘Village of Hope’ atau perkampungan harapan di Zon H Balukhali, berkata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) memaklumkan bantuan asing sudah berkurangan hampir separuh dan keadaan semakin parah.

‘Village of Hope’ ialah penempatan Rohingya yang tidak jauh dari Jabal Ummah yang dikendalikan empat NGO dari Malaysia iaitu Yayasan Amal, MAPIM, Haluan dan Serantau Muslim.

Setiausaha Agung MAPIM yang mengetuai misi bantuan Rohingya MAPIM, Zulhanis Zainol, berkata dunia seolah-olah sudah lupa kepada Rohingya tetapi sebenarnya mereka masih memerlukan bantuan.

“Kita mahu membina 1,000 lagi khemah pelarian untuk Rohingya dan sekurang-kurangnya 100 lagi telaga tiub untuk Rohingya. Masih ramai yang tiada tempat berteduh.

“Kalau kita lihat, ada lagi dua tiga keluarga pelarian yang berkongsi khemah kerana tiada keupayaan untuk membina rumah,” katanya yang merujuk kepada khemah yang diperbuat daripada buluh, plastik dan zink.

Misi kali ini turut disertai tiga anggota kumpulan nasyid Hijjaz, iaitu Munif Ahmad, Isman Isam dan Faizal Osman yang memasuki kem pelarian Balukhali, dan berusaha menjejaki pelarian Rohingya yang dikatakan masih memasuki ke Bangladesh melalui pintu sempadan di Teknaf, kira-kira tiga jam dari Cox’s Bazar.

Anggota Hijjaz yang dibawa khas oleh Zulhanis itu juga turut menyampaikan bantuan pakaian kutta kepada pelajar di ‘Village of Hope’, bantuan selimut tebal dan muqadam di Jabal Ummah dan lebih 200 pek makanan kepada pelarian di Balukhali.

Selain merancang membina 1,000 rumah sementara, misi bantuan Rohingya MAPIM-Hijjaz bermula Jumaat lalu juga akan membina pusat rehabilitasi kanak-kanak, pusat rawatan trauma, pusat kegiatan wanita dan madrasah dengan anggaran dana diperlukan sekitar RM800,000.

Pembaca yang mahu menyumbang boleh melayari www.danarohingya.com.

Pusat rehabilitasi amat penting dan ini disaksikan sendiri penulis di Balukhali semalam, di ‘Village of Hope’ dengan 19 ibu tunggal diberikan latihan menjahit dan memasak kuih muih, untuk menampung kehidupan keluarga.

“Terima kasih rakyat Malaysia,” kata ibu tunggal, Senwara Begum, 25, ibu kepada Mahmud Haris yang baru dilahirkan 20 hari lalu di kem pelarian itu.

Senwara terpisah dengan suaminya sejak Ogos lalu ketika kampung mereka di Buthidaung diserang tentera Myanmar. Beliau tetap datang ke pusat rehabilitasi itu walaupun tidak dipaksa kerana bekerja sebagai tukang jahit.

“Saya tidak mahu kehilangan kerja ini,” kata wanita Rohingya itu yang menyatakan gajinya sekitar 200 Taka Bangladesh (RM10) sehari.

Sambil memangku bayinya, Senwara berkata, dia bersyukur dengan bantuan dari Malaysia – berita harian