JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 20 kotak rokok seludup jenis John White dianggarkan bernilai kira-kira RM100,800 yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, rampasan dilakukan oleh enam anggota, termasuk seorang pegawai, hasil serbuan Ops Landai di Jalan Ulu Pulai, dekat sini.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata operasi terbabit dijalan berdasarkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan rokok.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, anggota PPM Wilayah Dua mengekori sebuah kenderaan dari arah Pekan Nanas ke Gelang Patah.

“Dalam operasi itu, mereka menggunakan kenderaan persendirian dan mengekori kenderaan suspek selama 15 minit sebelum dapat memintasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun memecut kenderaan sebelum berhenti berdekatan ladang kelapa sawit di Ulu Pulai.

“Seorang pemandu lelaki kemudian melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit dengan keadaan enjin kenderaan terbabit masih hidup. Anggota operasi berusaha menjejaki suspek tetapi gagal mengesannya,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, anggotanya merampas kunci MPV terbabit dan membuat pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu

“Siasatan terhadap kenderaan itu menemukan beberapa kotak coklat disyaki mengandungi rokok tidak sah berjenama John White.

“Semua rampasan membabitkan 20 kotak besar mengandungi rokok berkenaan dengan anggaran nilai RM100,800 dan MPV Toyota Estima bernilai RM80,000, dibawa ke markas PPM Wilayah Dua untuk proses dokumentasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967, manakala barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat PPM Wilayah Dua – berita harian