IPOH – PKR Perak mengharapkan kerajaan Perak yang diterajui PH masih perlu merombak sumber pendapatan negeri.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, kerajaan BN terdahulu telah mengabaikan impak aktiviti ekonomi terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.

Beliau berkata, pihaknya turut kesal dengan cara kerajaan negeri mengendali beberapa insiden yang melibatkan pencemaran dan pelanggaran hak orang asli.

“Semua harus lebih proaktif dan reseptif kepada teguran oleh ahli parti komponen. Sebagai kerajaan, kita harus lebih tegas dalam polisi dan prinsip mentadbir negara.

Jangan mudah melatah. Kita masih ada masa untuk memantapkan sistem pentadbiran dan sosio-ekonomi negeri Perak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Farhash Wafa Salvador, masih ada ruang yang perlu diperbaiki melibatkan hubungan antara parti komponen memandangkan mereka kini juga memerintah kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pentadbiran kerajaan juga harus mengikut peredaran masa sejajar dengan usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengetengahkan Pendekatan Digital Native Agenda (DNA23) yang mempunyai tiga teras utama iaitu kemakmuran, kebahagiaan, persediaan masa depan serta etika dan budaya.

“Sebagai sebuah parti kita harus ingat bahawa politik adalah saluran untuk mentadbir negara. Apa yang lebih penting adalah untuk tidak memutuskan silaturahim kerana saya pasti majoriti rakyat tidak kira bangsa, agama atau fahaman politik, menyedari bahawa politik bersifat sementara.

“Masa depan negara terjamin hanya jika kita semua menghormati perlembagaan negara dan menjamin kedaulatan dengan cara yang aman,” katanya.

Sementara itu, mengenai prestasi Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daripada PKR, Farhash Wafa Salvador berkata, pihaknya masih memantau prestasi mereka.

Katanya, penilaian akan dibuat berdasarkan maklumbalas daripada rakyat dan ketua cawangan kawasan masing-masing – sinar harian