JOHOR BAHRU: Tindakan dua lelaki merompak sebuah kedai stesen minyak dekat Jalan Permatang 2, Kempas di sini, petang semalam, sia-sia apabila mereka dikejar pekerja stesen minyak itu sebelum seorang daripada mereka berjaya ditangkap.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, dua suspek itu datang ke kedai stesen minyak berkenaan dengan menunggang motosikal sebelum seorang daripadanya memasuki kedai dengan memakai topi keledar bertutup serta memakai penutup mulut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, seorang suspek memasuki kedai itu dengan membawa sebilah pisau dan bertindak melakukan samun dan membawa lari sejumlah wang serta beberapa kotak rokok.

Katanya, ketika kejadian terdapat tiga pekerja lelaki warga Pakistan di kedai berkenaan.

“Suspek masuk ke dalam kedai seakan-akan mahu membeli sesuatu, namun dia terus pergi ke arah kaunter dan mengeluarkan pisau panjang.

“Suspek mengarahkan pekerja mengeluarkan wang dari mesin tunai serta rokok tetapi pekerja enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan pekerja stesen minyak.

“Suspek kemudian bertindak keluar dari kedai itu dan menaiki motosikal yang ditunggang rakannya yang sedang menunggu di luar kedai.

“Seorang pekerja stesen minyak bertindak mengejar motosikal suspek sejauh kira-kira 36 meter sebelum tiba-tiba motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek itu terlanggar lopak dan pemboncengnya terjatuh,” katanya.

Menurut Mohd Taib, pekerja stesen minyak itu berjaya menangkap suspek yang terjatuh itu dan berlaku pergelutan, manakala penunggang motosikal dapat melarikan diri bersama barang yang disamun.

“Seorang daripada suspek berjaya ditangkap sebelum pekerja stesen minyak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Mohd Taib berkata, pihak polis menerima panggilan menerusi talian MERS 999 pada jam 4.45 petang mengenai rompakan itu dan diberitahu bahawa terdapat tangkapan suspek yang dibuat oleh orang awam.

“Ketika tiba di stesen minyak itu, kita mendapati seorang lelaki sudah terbaring di tengah jalan dan kita menahannya selepas dia disyaki cuba melakukan samun.

“Hasil semakan, kita mendapati suspek yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan suspek kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk menerima rawatan.

“Kita turut merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 39 sentimeter (cm) dan satu topi keledar. Jumlah kerugian masih belum diketahui dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian