KUALA LUMPUR 22 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95, sejak awal bulan lalu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga pada ketika ini iaitu RM2.20.

Katanya, ia berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong.

“Belanjawan 2019 diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia Brent pada harga AS$72 satu tong pada awal bulan lalu tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam.

“Semalam, harga Brent ialah di sekitar AS$52 satu tong, sebagai perbandingan harga Brent semasa Barisan Nasional (BN) kalah ialah AS$73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.

“Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan Pakatan Harapan telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini. – UTUSAN ONLINE