BAGAN DATUK: Tindakan yang diambil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bertindak profesional dan mengikut peraturan apabila mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan ROS itu mengikut Perlembagaan parti itu sendiri dan Akta Pertubuhan 1966 demi menjaga kepentingan ahli dan pertubuhan itu sendiri.

Menurut beliau, walaupun menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap ROS tetapi beliau telah meminta segala tindakan jabatan itu dibuat secara profesional.

“ROS memang berjumpa dengan saya, saya meminta supaya mereka bertindakan secara profesional dan jangan menggunakan emosi, jauh sekali menggunakan mana-mana pemikiran yang diluar kotak kepada Perlembagaan DAP sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.

“ROS adalah badan yang bertindak bagi menjaga kepentingan mana-mana ahli pertubuhan, termasuk pertubuhan politik kerana perlembagaan adalah menjadi asas kepada parti politik berkenaan atau pertubuhan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk pada Sabtu.

Beliau mengulas reaksi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan arahan ROS supaya parti itu mengadakan semula pemilihan CEC tidak masuk akal

Timbalan Perdana Menteri yakin ROS juga akan mengeluarkan surat rasmi kepada DAP mengenai arahan tersebut.

Menurutnya, tidak ada tempuh masa untuk DAP mengadakan pemilihan semula itu.

Bagaimanapun, ujarnya, sekiranya DAP enggan mematuhi arahan yang dibuat, tindakan boleh diambil berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri.