KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini lewat malam tadi untuk menerima rawatan susulan selepas mengalami sakit belakang dan tengkuk yang serius.

Kesakitan yang dialaminya menyebabkan beliau tidak boleh duduk lama.

Rosmah yang ditemani Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke hospital kira-kira jam 10.30 malam tadi, menurut laporan portal Malaya Post.

Sumber yang rapat dengan bekas Perdana Menteri turut mengesahkan perkara itu.

Katanya, Rosmah yang telah menerima rawatan di hospital tersebut sebelum ini akan menjalani rawatan lanjut pagi ini.

Semalam, perbicaraan rasuah membabitkan Rosmah di Mahkamah Tinggi ditangguhkan kerana beliau mendapat cuti sakit.

Kes tersebut ditangguhkan Rabu.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa Rosmah tidak sihat dan doktor telah mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Februari lalu.

Peguam itu turut mengemukakan laporan perubatan Rosmah kepada mahkamah yang mengatakan beliau dirawat di sebuah hospital swasta, kelmarin.

Rosmah ketika ini berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor. – MalaysiaGazette