PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Datin Seri Rosmah Mansor pada Rabu berhubung siasatan pengubahan wang haram.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, penahanan ke atas isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dibuat pada pukul 3.20 petang di Ibu Pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Katanya, penahanan dibuat setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” menurut kenyataan SPRM pada petang Rabu.

Tambah kenyataan itu, Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi Khamis untuk pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Rosmah yang berbaju kurung dan selendang hijau hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk diambil keterangan buat kali ketiga.

Kali pertama beliau hadir di SPRM pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 26 September lalu, Rosmah sekali lagi dipanggil oleh SPRM dan memberi keterangan hampir 13 jam.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012 – mstar