KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini diperintah dan diberi tempoh tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, gelang dan tiara bernilai hampir RM60 juta miliknya yang didakwa dirampas polis tahun lalu.

Peguam David Gurupatham mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL ketika ditemui pemberita, berkata berikutan arahan Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lin itu, kini Rosmah dan bukan anak guamnya yang perlu membuktikan di mana barangan kemas berkenaan berada.

Peguam itu berkata, mahkamah berpendapat dan bersetuju dengan hujahan pihaknya bahawa perbicaraan tetap diteruskan walaupun barangan kemas itu yang dirampas polis pada Mei tahun lalu, ada atau tidak.

Katanya, ia berikutan isteri bekas Perdana Menteri itu mengesahkan menerima dan menandatangani konsainan bagi barangan kemas terbabit.

“Rosmah mengesahkan menerima dan menandatangani konsainan barangan kemas itu atas permintaan beliau.

“Sekarang beliau menyatakan bahawa barangan kemas itu dirampas polis dan sehubungan itu mendakwa beliau tidak perlu membuat pembayaran.

“Mengikut peruntukan undang-undang, ia juga bukan tugas polis untuk membuktikan (kewujudan barangan kemas berkenaan),” katanya.

Gurupatham berkata, mahkamah turut mengarahkan semua pihak mematuhi dan meneruskan dengan pengurusan kes saman itu serta membuat persediaan bagi perbicaraan yang ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini jika tiada sebarang permohonan untuk menangguhkan kes atau permohonan penangguhan ditolak mahkamah kemudian.

Katanya, pihaknya akan tetap meneruskan kes saman itu (walaupun apa keputusan mengenai pemeriksaan barangan terbabit oleh Rosmah).

Pada 26 Jun tahun lalu, Global Royalty menyaman Rosmah dengan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat pemborong barangan kemas antarabangsa itu mendakwa, Rosmah sudah lama menjadi pelanggan tetap dan syarikat itu menghantar konsainan barang kemas kepada Rosmah atas permintaannya.

Global Royalty selaku plaintif berkata, Rosmah (defendan) kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya (Rosmah) atau melalui pihak ketiga.

Plaintif yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja dan pelanggan ternama dari seluruh dunia, berkata barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Global Royalty berkata, pada 10 Februari 2018, ia menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM504,000) dan AS$925,000 (RM3.7 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata, ketika serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat dalam Memorandum No. 926 bagi barang kemas berkenaan.

Syarikat itu berkata, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, Rosmah mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan ia tidak lagi berada dalam milikannya kerana dirampas dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Plaintif sehubungan itu memohon perintah supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas dan supaya barangan terbabit dipulangkan.

Jika tidak, plaintif memohon perintah supaya Rosmah bertanggungjawab membayar harga barangan kemas itu yang berjumlah AS$14.79 juta (RM59.83 juta ) – berita harian