PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 11.40 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah-sekolah di Sarawak.

Beliau tiba dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana diiringi sebuah kereta Proton Waja sebelum dilihat menuju ke tempat letak kereta di bawah bangunan.

Difahamkan, SPRM akan menahan Rosmah hari ini sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk proses pendakwaan.

Sumber berkata, Rosmah disiasat berhubung projek membabitkan dana sebanyak RM1.25 bilion kerana siasatan mendapati projek itu diberikan kontrak tanpa prosedur operasi standard (SOP) di bawah Kementerian Pendidikan ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Projek membabitkan pemasangan solar hibrid di 369 buah sekolah luar bandar itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat berdasarkan arahan langsung daripada Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak – berita harian