Bakat ‘menconteng’ insan seni ini dicungkil sedari bangku sekolah lagi apabila dia sering meminta kebenaran dari Pengetua dan guru di SMK King Edward VII,Taiping untuk menghasilkan grafiti di dinding bangunan sekolah.

 

Kini Abdul Sariman Abdul Rahman, 31, berjaya menjadikan grafiti sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan, dalam pada itu menurutnya seni ini sudah mendapat tempat di hati masyarakat dengan mesej menarik yang disampaikan.

 

Secara amnya, grafiti atau lakaran pada dinding adalah perkataan yang diambil dari Itali iaitu ‘graffito’ bermaksud lakaran, ia berbeza dengan mural kerana menggunakan cat sembur berbanding berus serta cat.

 

Melakar Secara Halal

Abdul Sariman atau dikenali dengan gelaran Spuxs dalam kumpulan grafiti merupakan individu yang sering menyampaikan idea dan hasil kreativiti di sekitar bandar Taiping termasuk di Zoo Taiping.

 

“Saya belajar sendiri dan berkawan dengan orang yang arif dalam penghasilan grafiti, kebanyakan dari mereka menetap di Kuala Lumpur, dulu saya selalu berulang alik ke sana dan cuba belajar dari kawan-kawan.

 

“Paling penting perlu ada minat dan nasihat saya untuk golongan muda yang ada bakat grafiti ialah kalau nak buat..buatlah dengan cara halal maksudnya bukan dengan vandalisme sehingga merosakan harta benda awam,”katanya kepada Suara Perak.

 

Makin Kecil, Makin Rumit

 

Beliau yang juga berkhidmat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Taiping berkata, seni grafiti mampu membawa perubahan ketara kepada persekitaran sesebuah kawasan.

 

“Sebelum hasilkan grafiti di dinding zoo atau bangunan di sana (Taiping), saya akan dapatkan kebenaran dari Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terlebih dahulu dan menjaga sensitivity  lakaran. Ini bermaksud kita capai situasi menang-menang,”katanya.

 

Tahap kesukaran dan cabaran dalam grafiti bergantung kepada saiz yang dihasilkan, jelas Sariman semakin kecil grafiti maka semakin rumit untuk semburan cat.

 

“Kena pandai kawal tin semburan dengan menggunakan nozzle, kebiasaannya untuk saiz besar lakaran saya gunakan kira-kira 24 tin semburan.

 

“Jenis tin semburan pun main peranan berdasarkan kelikatan, boleh guna yang murah dalam harga RM8, tetapi untuk tujuan pameran saya lebih suka gunakan semburan yang ditempah dari Jerman berharga RM 25-RM 30,”katanya.

 

Sehingga kini Sariman berpengalaman menghasilkan grafiti wajah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan beberapa lagi tokoh ternama di Perak, selain dijemput menjadi tenaga pengajar khusus dalam bidang grafiti.

efaba573-12ff-4b25-bb68-eb181a72cfd2