KUANTAN: Dua individu mengalami kerugian berjumlah RM10,507 dalam dua kes berasingan dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud, baru-baru ini.

Dalam kejadian 22 April lalu, seorang peniaga wanita berusia 25 tahun bukan sahaja kerugian RM8,000, malah impian mengubah suai rumah dan kedainya turut lebur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa dari Batu 6, Jalan Gambang-Kuantan dekat sini, dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Wong Yip Soon.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa adalah ejen syarikat Marketing Solution Sdn Bhd yang menawarkan pinjaman peribadi.

“Wanita itu kemudian bersetuju membuat pinjaman wang RM100,000 untuk mengubah suai rumah dan kedainya di sini. Mangsa diarahkan membuat pembayaran sebagai wang proses permohonan pinjaman itu.

“Selepas itu, mangsa dikatakan membuat pindahan berjumlah RM8,000 ke dalam tiga akaun berbeza diberi oleh suspek, namun hingga kini belum menerima wang pinjaman berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang kerani lelaki berusia 22 tahun kerugian RM2,507 juga dipercayai ditipu sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, dalam kejadian 19 April lalu, mangsa dikatakan melihat iklan pinjaman wang dalam laman Facebook menggunakan nama Ringgit Outcome Syarikat: Jupiter Juta.

“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki bernama Adi yang mendakwa adalah wakil syarikat itu, kerana ingin membuat pinjaman RM5,000 untuk urusan perkahwinannya.

“Mangsa kemudian dikatakan membuat tiga transaksi pembayaran wang proses permohonan berjumlah RM2,507,” katanya.

Namun, katanya, hingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman itu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Polis sudah mengenal pasti suspek kedua-dua kes berdasarkan akaun bank yang dipindahkan wang oleh dua mangsa terbabit,” katanya – berita harian