ALOR SETAR : Tiga individu kerugian RM15,000 selepas pesanan topeng muka yang dibuat pada bulan lalu secara dalam talian tidak diterima hingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata daripada tiga kes berkenaan, dua daripadanya dilaporkan di Alor Setar dan satu lagi di Sungai Petani.

Ketiga-tiga mangsa berusia 30-an itu terdiri daripada kerani dan peniaga yang membuat laporan polis apabila berasa ditipu kerana barang yang dipesan tidak diterima.

“Berdasarkan laporan yang diterima, mereka memasukkan wang kepada akaun pembekal topeng berlainan dan wang berkenaan “lesap” hingga sekarang,” katanya di sini semalam.

Elias berkata, kesukaran mendapatkan bekalan topeng muka di pasaran sejak penularan COVID-19 menjadi punca mangsa membelinya secara dalam talian.

Beliau berkata, penipuan ini berlaku sejak awal Februari, pertengahan dan hujung bulan terbabit.

“Berikutan itu semua mangsa membuat laporan polis untuk membolehkan kami melakukan siasatan. Setakat ini kita sedang mengesan syarikat pembekal terbabit,” katanya.

Elias berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli topeng penutup muka dan hidung atau cecair pembasmi kuman melalui laman sosial sebaliknya membeli daripada pembekal yang sah bagi mengelak ditipu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.