SUBANG JAYA – Polis memberkas sekumpulan tiga lelaki dipercayai sindiket terbabit dengan kes penipuan ‘parcel scam’ membabitkan kerugian lebih RM32,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, seorang wanita warga tempatan berusia 42 tahun membuat laporan pada Julai tahun lalu mendakwa berkenalan dengan seorang warga United Kingdom dikenali dengan nama Jack.

Mangsa berhubung dengan suspek melalui sistem aplikasi WhatsApp dan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk mengenai rakan alam mayanya itu.

Mangsa bertambah percaya dengannya apabila suspek berjanji untuk menghantar beberapa barangan sebagai hadiah persahabatan mereka.

“Pada 15 Ogos 2016 mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak kurier yang mengatakan kononnya barangan dihantar suspek sudah sampai namun mempunyai beberapa masalah termasuk dengan pihak kastam.

“Mangsa diminta masukkan wang tunai ke dalam akaun diberi sindiket bagi tujuan melepaskan barangan tersebut. Wanita itu melakukan apa yang disuruh memasukkan wang secara berperingkat keseluruhan berjumlah RM 32,498 sebelum menyedari ditipu,”katanya.

Mohammad Azlin berkata, selepas hampir 10 bulan memburu suspek, pihaknya berjaya mengenalpasti kedudukan sindiket.

Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Subang Jaya diketuai Inspektor Mohd Hilmi Syazwan Mohd Bahgia menyerbu sebuah rumah di Ivory Residence Jalan Mutiara 2,Mutiara Heights, Kajang kira-kira jam 1.45 pagi semalam.

Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki warga Nigeria dan merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer riba, kad sim dan beberapa keping kad juruwang automatik (ATM) dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan parcel tersebut.

Polis turut menemui beberapa buah buku tertera senarai email digunakan ketika menipu mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan yang dibawa ke IPD Subang Jaya mengaku terlibat menjalankan kegiatan ‘parcel scam’ dan menjadikan warga asing sebagai sasaran utama.

“Suspek mengaku terdapat dalang utama dalam kegiatan mereka. Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan barang kes dan suspek lain yang terlibat,”katanya kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-Sinarharian