RAUB: Seorang suri rumah dipercayai kerugian kira-kira RM80,000 selepas rumahnya dipecah masuk dua lelaki dalam kejadian samun di Kampung Sungai Pasu, di sini, awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, suspek disyaki melarikan kereta Proton Saga, barangan kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai dari rumah mangsa berusia 50 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata siasatan awal mendapati dua suspek bertopeng dikata memecah masuk rumah terbabit dengan bersenjatakan pisau sebelum mengikat mangsa dan anak perempuannya berusia 16 tahun.

“Remaja perempuan itu juga ditumbuk suspek menyebabkannya cedera di bahagian muka. Suspek kemudian menggeledah rumah dan membawa lari barangan berharga.

“Mereka disyaki melarikan Proton Saga, barangan kemas dianggarkan bernilai RM20,000, jam tangan berjenama bernilai RM7,000 dan wang tunai RM1,000,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama anak perempuan hanya berdua di dalam rumah, manakala suaminya bekerja.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub sedang mengesan kedua-dua suspek dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun, bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, seorang suspek terbabit memiliki fizikal badan besar dan rendah, manakala rakannya bertubuh kecil. Kita meminta orang ramai yang ada maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kita juga sedang menunggu hasil laporan forensik bagi mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya – berita harian