TELUK INTAN– Kehilangan ibu bapa dan kemiskinan hidup tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencapai cita-cita, bahkan ia juga boleh menjadi pencetus serta peniup semangat perjuangan bagi mereka merealisasikan impian hidup.
Kejayaan salah seorang penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Jaz Teluk Intan yang melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), dan seterusnya menjawat jawatan tinggi sebagai jurutera, menjadi inspirasi kepada penghuni rumah anak yatim ini.
Malah, sudah ada beberapa kalangan bekas penghuni rumah anak yatim dan miskin ini mengikuti jejak langkah sama, dua daripadanya berjaya mendapat tempat di universiti dan kolej tempatan.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Rumah Jaz, Kong Sun Chin, penghuni yang sudah menempa kejayaan dan bekerjaya sering berkunjung ke rumah itu jika ada kelapangan.
c1071acb-9207-48ba-9865-7f7dbab9cdfd
“Ada yang jadi jurutera dan chef dalam bidang kek dan roti, mereka akan luangkan masa di waktu cuti untuk ajar anak-anak di sini subjek tertentu,”katanya.
Kunjungan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) yang diketuai oleh Yang DiPertuanya, Datin Seri Saripah Zulkifli ke Rumah Anak-Anak Yatim Jaz membuka dimensi baharu berkaitan konsep dan pengurusannya.
Menurut Saripah, pengurusan bersistematik dan penjagaan yang mementingkan aspek pendidikan menjadi kunci kepada kecemerlangan anak-anak tersebut.
“Sejujurnya sepanjang saya melawat ke rumah anak-anak yatim sebelum ini, belum pernah saya lihat rumah sehebat ini dan saya begitu kagum dengan pengurusan yang dilaksanakan oleh pihak rumah ini.
“Persekitaran yang bersih dan teratur membuatkan anak-anak ini dapat belajar dan jalani hidup dengan baik, saya yakin dengan pendidikan itu mampu memecah tembok kemiskinan dan contoh terbaik sudah ada yang berjaya jadi jurutera,”kata Saripah.
Saripah berkata demikian ketika ditemui di Program Lawatan dan Sumbangan Tahun Baru Cina di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Jaz, di sini hari ini.
Yang turut sama ahli-ahli BAIDURI termasuk badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Rumah Anak-Anak Yatim Jaz.
Dalam pada itu, Saripah menyampaikan sumbangan berupa angpau kepada para penghuni sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Rumah Anak-Anak Yatim Jaz ditubuhkan pada tahun 2009 dan didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan lima orang penghuni dan kini ia berkembang kepada 35 orang.
Ia termasuk empat orang anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU), yang dilatih oleh guru khas sehingga mereka mencapai umur 18 tahun dan boleh berdikari.