IPOH 27 Dis. – Jenayah pecah rumah dan curi di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 17.68 peratus iaitu 1,005 kes sehingga semalam berbanding 854 kes dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kebanyakan kes itu berlaku di taman-taman perumahan di beberapa daerah utama seperti Ipoh, Manjung, Hilir Perak, Taiping, Kampar, Batu Gajah dan Tapah.

“Jenayah ini berlaku disebabkan oleh kecuaian tuan rumah itu sendiri di mana kediaman tidak dikunci dengan betul.

“Banyak kes ini melibatkan rumah-rumah bujang, mereka duduk lima enam orang, jadi bila balik lewat, tidak tutuplah pintu dan mudah orang masuk. Kadang-kadang kita lihat rumah itu tiada kesan pecah masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan majlis dialog pertubuhan pencegahan jenayah di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggalakkan orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman mereka untuk tempoh masa agak panjang supaya berhubung dengan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan persatuan cegah jenayah (community policing) di kawasan setempat, rondaan di sesebuah persekitaran dapat dipertingkat.

“Dengan rondaan bersama, kita dapat mengekang masalah pecah rumah yang meningkat lebih-lebih lagi mereka adalah mata dan telinga bagi pihak polis di sesebuah kawasan taman perumahan.

“Selain itu, orang ramai juga kena ambil pendekatan lebih baik seperti menyediakan kunci dua tiga termasuk selak,” katanya. – UTUSAN ONLINE