IPOH : Kediaman Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan tuduhan merogol pembantu rumah telah dipecah masuk.

Kejadian di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya itu disedari sekitar jam 12.30 tengah hari oleh Paul Yong sendiri, Ahad lalu ketika pulang ke rumah berkenaan selepas kali terakhir meninjau kediaman itu, 22 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, terdapat kesan geledah di keempat-empat bilik dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, pengadu mengesyaki suspek memecah masuk untuk mencari sesuatu berdasarkan keadaan rumah berselerak dan laci-laci di bilik serta ruang tamu terbuka.

“Rumah itu ditinggalkan dalam keadaan berkunci, namun ketika kejadian didapati pintu belakang terbuka, gril tingkap juga telah dipotong dan dibuka.

“Setakat ini tidak dapat dipastikan kerugian barangan, bagaimanapun sebuah peti keselamatan yang mengandungi pelbagai dokumen penting didapati telah hilang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan Unit Forensik kemudiannya telah menemui empat kesan cap jari.

“Kita menemui kesan pecah masuk melalui gril tingkap belakang dapur yang dipotong dan tingkap diumpil,” katanya.

Menurutnya, rumah teres dua tingkat berpagar berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), namun terdapat pengawal keselamatan 24 jam di pintu masuk.

“Kawasan kejiranan juga tidak mempunyai CCTV dan didapati barisan teres rumah itu banyak tidak berpenghuni.

“Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengesan suspek terlibat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru itu sudah tiga bulan tidak tinggal di rumah berkenaan.

Beliau bersama keluarga tinggal di tempat lain kerana mahukan privasi berikutan kes perbicaraan rogol yang dihadapi.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 49, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.

Kes berkenaan akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.