KUALA TERENGGANU: Seorang wanita berusia 48 tahun dan suaminya berusia 44 tahun yang juga peniaga alat ganti motosikal ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat pelacuran jam 10.40 malam tadi.

Turut ditahan dua wanita warga Thailand berusia 21 dan 32 tahun.

Dalam serbuan di rumah sewa milik pasangan berkenaan di kawasan perumahan di Jalan Cerung Lanjut, polis turut merampas pelbagai barangan seperti kondom, minyak urut, telefon bimbit dan wang tunai RM3,000 dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman, berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu hasil intipan mengenai aktiviti pelacuran yang menggunakan aplikasi WeChat bagi mempromosikan kegiatan itu dengan bayaran RM250 untuk satu sesi perkhidmatan seks selama satu jam.

Katanya, siasatan mendapati suspek lelaki bertanggungjawab mencari pelanggan menerusi WeChat manakala isterinya pula menguruskan tempat pelacuran.

“Siasatan mendapati lelaki hidung belang, warga asing dan orang tempatan turut menjadikan rumah itu tumpuan untuk mendapatkan khidmat pelacur tempatan.

“Hasil soal siasat ada antara pelacur itu mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 dalam satu malam dan pemeriksaan mendapati dua wanita Thailand terbabit menggunakan pas lawatan sosial yang sah untuk memasuki negara ini.

“Empat suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan dan Seksyen 372BKK kerana mencari langganan bagi maksud persundalan,” katanya pada ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini – berita harian