IPOH: Empat buah kenderaan dan sebuah rumah kedai rosak akibat dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Jalan Medan Istana, di sini, pada petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 petang itu pokok setinggi hampir 10 meter terbabit dipercayai tumbang akibat hujan ribut di sekitar kawasan berkenaan sejak jam 4 petang.

Menurut salah seorang mangsa, N. Thiru, 40, beliau menyedari kejadiaan berkenaan selepas terdengar satu bunyi yang amat kuat di hadapan pejabatnya.

“Terkejut kami semua dalam pejabat selepas denganr satu bunyi yang amat kuat di hadapan.

“Bila saya keluar tengok kereta yang baru dibeli tiga tahun dah dihempap oleh pokok berkenaan, memang cukup-cukup sedih…nak buat tuntutan insurans pun tak boleh,” katanya ketika ditemui Suara Perak di tempat kejadian.

Beliau turut memberitahu ketika kejadian tiada mangsa yang terlibat.

“Saya tengok semua kereta memang kosong sebab kawasan ini memang orang buat tempat parkir kereta, nasib baik tak ada orang terkena,” ujar beliau.

Pokok berkenaan ketika ini sedang dialih oleh sebuah jentolak milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sambil dipantau oleh anggota Bomba.