IPOH: Sebaik memasuki Bulatan Aman Jaya di Meru Raya di sini, pemandu kenderaan pastinya akan terlihat deretan tiga buah rumah tradisional Perak yang dikenali sebagai Rumah Kutai yang dibina sebagai satu lagi tarikan pelancongan di taman rekreasi awam tersebut.

Rumah Kutai itu diusahakan sebagai restoran iaitu Labu Sayong Signature dan Tok Nan’s yang menawarakan pelbagai masakan tradisi masyarakat Melayu di Perak.

Kewujudan rumah warisan negeri Perak itu menambahkan tarikan pengunjung taman awam yang dikelolakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang dibuka kepada umum sejak setahun yang lalu.

Laporan Bernama menyebut Pengarah Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PKNP, Norlida A. Manaf sebagai berkata, pembinaan rumah kutai itu merupakan tarikan terbaharu yang mempamerkan keunikan dan keistimewaan warisan kesenian dan kraftangan tradisi negeri Perak.

Katanya, pembinaan rumah kutai bertepatan kerana pembangunan bandar baharu yang berkembang pesat di Meru Raya.

Ini kerana ia merupakan kawasan strategik yang berhampiran dengan Movie Animation Park Studio (MAPS), Hotel Casuarina dan Pusat Konvensyen Amanjaya.

“Sambutan daripada pengunjung restoran ini amat menggalakkan walaupun ia baru dibuka khususnya pengunjung yang berkunjung ke Perak yang mahu merasai masakan tradisi Perak,” katanya sambil menambah harga makanan ditawarkan bermula dengan RM8.

Beliau berkata, struktur asal Rumah Kutai tersebut tidak diubah serta dibina membabitkan kos lebih RM200,000 setiap satu sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri keunikannya tanpa perlu ke lokasi sebenar.

Rumah Kutai banyak didapati di sepanjang Sungai Perak terutamanya di sekitar kawasan perkampungan di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Rumah kutai dibina berdasarkan gaya seni bina rumah bumbung Melayu kepunyaan Tok Anjang Pelita yang merupakan seorang penghulu di Pasir Salak dari jenis rumah kutai anjung beranda yang dibina sekitar 1840an.⁠⁠⁠⁠