PARIT BUNTAR: Kerian adalah antara daerah yang bakal menikmati tempias pembangunan rumah mampu milik yang akan dan sedang dilaksanakan secara holistik oleh kerajaan negeri demi mencapai sasaran 1 Keluarga 1 Rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

Selain pembinaan rumah baharu, turut ditumpukan ialah projek memulihkan rumah-rumah yang rosak atau memerlukan penambahbaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata, hasil tinjauan menyeluruh di daerah itu baru-baru ini, pihaknya  telah mengenal pasti beberapa perumahan rakyat yang mampu diperbaiki.

Menurut beliau, antara Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah dikenalpasti adalah PPR Taman Toh Jabit dan PPR Parit Haji Wahab.

“Seperti contoh, PPR Parit Haji Wahab sebelum ini ibarat projek yang terbengkalai disebabkan beberapa komplikasi dan hasil dorongan dan usaha berterusan kerajaan negeri, projek itu kini telah dibangunkan dengan begitu cepat.

“Projek PPR Parit Haji Wahab itu hanya siap 54 peratus sebelum dibangunkan semula dan kini telah mencapai 84 peratus persiapan, dengan 51 rumah telah siap dibina manakala 49 unit lagi hanya menantikan pagar dan pembersihan sebelum diduduki,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui dalamProgram Jalinan Mesra Gotong Royong dan Penyampaian Bantuan Penduduk PPR Taman Toh Jabit pada Jumaat.

Rusnah meluangkan masa melawat PPR Parit Haji Wahab bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan membincangkan beberapa pembangunan infrastruktur yang boleh dilaksanakan di kawasan itu.

Katanya, selain bantuan kerajaan dalam membangunkan perumahan mampu milik, pihaknya juga bercadang untuk bekerjasama dengan pihak swasta selaras dengan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri juga bercadang untuk menggantikan konsep nama PPR dan program rumah mampu milik kepada kluster Rumah Amanjaya 1, 2 dan 3, bergantung kepada kesesuaian dan kos harga kediaman tersebut.

Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa mencari inisiatif untuk membina lebih banyak rumah mampu milik yang mampu diduduki rakyat terutamanya berharga antara RM70,000 hingga RM 100,000 sekitar daerah Kerian.

Selain itu, Rusnah juga bercadang untuk mengadakan pertandingan PPR terindah dan bersih di negeri Perak bagi meningkatkan kesedaran dan mengubah mentaliti penghuni untuk menjaga kawasan persekitaran rumah masing-masing.

“ Sebagai contoh, PPR Taman Toh Jabit ini telah dibina pada 2010 dan mula diduduki pada tahun 2011 tetapi keseluruhan kawasan adalah amat terjaga, bersih dan terpelihara, saya rasa ini adalah usaha dan dorongan penduduk sendiri yang mempunyai kesedaran untuk memperindahkan kawasan sekitar.

“ Adalah menjadi harapan kami agar PPR Taman Toh Jabit ini dijadikan PPR contoh kepada seluruh negeri Perak, bagaimana kerjasama di antara jiran tetangga dan pengurusan serta pentadbiran yang membawa kepada kebersihan sekitar kawasan,” katanya lagi. – Suara Perak