TELUK INTAN – Sebuah rumah dua tingkat musnah 40 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Teratai J4/3, Taman Indah Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan mengesahkan menerima panggilan pada jam 3.35 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah rumah dua tingkat jenis kelas A berukuran 20 kaki x 40 kaki telah terbakar.

“Didapati api masih menyala di baghagian tangga, namun tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan.

“Bomba telah bertindak memadamkan api menggunakan satu aliran 100 kaki satu pancutan dan satu aliran hos reel bersumberkan air dari pili bomba berdekatan,” ujar beliau ketika dihubungi oleh Suara Perak.

Menurut beliau, kebakaran itu juga memusnahkan perkakasan yang terdapat di dalam rumah tersebut.

“Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hisham Mat Noh dan tamat sepenuhnya pada pukul 4.55 pagi,” kata beliau.